Latar Belakang
Pusat Pengurusan Strategik, Kualiti dan Risiko (PPSKR)
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM), merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama yang mengamalkan pendekatan pembelajaran berasaskan aplikasi dan amali (application-oriented) dan telah ditubuhkan pada tahun 2000.
Komitmen terhadap kecemerlangan kualiti institusi ini mula diperkasa dengan penubuhan Bahagian Jaminan Kualiti & Akreditasi pada 1 Jun 2003, yang ketika itu diterajui oleh seorang Pengarah. Penstrukturan semula pada 1 November 2004 menyaksikan penaiktarafan bahagian ini sebagai Pusat Jaminan Kualiti & Akreditasi (PJKA), sekaligus diberikan status sebagai sebuah Pusat Tanggungjawab (PTj).
Fokus utama PJKA adalah untuk memupuk budaya kualiti dalam kalangan warga universiti melalui pengurusan sistematik dalam:
- Sistem Pengurusan Kualiti
- Akreditasi dan Pengiktirafan Program
- Perancangan Strategik
- Pembangunan Sumber Manusia
Pada 16 Oktober 2014, PJKA telah melalui fasa transformasi kedua apabila distruktur semula dan dinaik taraf menjadi Pusat Pengurusan Strategik, Kualiti dan Risiko (PPSKR). Ketika itu, PPSKR terdiri daripada empat (4) bahagian utama:
- Pentadbiran & Kewangan
- Pengurusan Kualiti
- Pengurusan Risiko
- Pengurusan Strategik
Seiring dengan keperluan tadbir urus yang lebih kompleks dan dinamik, mulai 1 November 2023, PPSKR distruktur semula sebagai sebuah PTj kepada enam (6) bahagian khusus di bawah Pejabat Canselori, seperti berikut:
- Bahagian Pentadbiran & Kewangan
- Bahagian Pengurusan ISO
- Bahagian Pengurusan Akreditasi
- Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Pelan Strategik
- Bahagian Pengurusan Penarafan, Data dan SDG
- Bahagian Pengurusan Risiko
(Rujukan: Pekeliling Pentadbiran Bil. 38/2023)
Transformasi terkini menyaksikan PPSKR distruktur semula sebagai sebuah Pihak Berkuasa Universiti (PBU) berkuat kuasa 1 Ogos 2024, dan kini beroperasi di bawah Pejabat Penolong Naib Canselor (Strategik & Kelestarian Global). Penstrukturan ini adalah selaras dengan pengaktifan semula portfolio Penolong Naib Canselor dalam bidang strategik dan kelestarian global bagi memperkukuh keupayaan universiti dalam merancang, menilai dan melaksana inisiatif berimpak tinggi secara menyeluruh dan mampan.
(Rujukan: Pekeliling Pentadbiran Bil. 27/2024)
Dengan struktur yang lebih strategik dan fokus fungsi yang diperluas, PPSKR berperanan penting dalam menyokong visi dan misi UTeM melalui tadbir urus berkualiti, pemanduan strategik, serta pengurusan risiko dan kelestarian berasaskan data dan standard antarabangsa.